Umum

MYAirline gantung operasi, akui berdepan isu kewangan

Syarikat penerbangan tambang murah MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini, 12 Oktober 2023.

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu berkata, penggantungan tersebut akan berlanjutan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.

“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi.

“Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini.

“Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” kata Ahli Lembaga Pengarah MYAirline dalam kenyataan tersebut..

Sementara itu, MYAirline turut menasihati penumpang yang terjejas supaya tidak ke lapangan terbang selain perlu mencari alternatif lain untuk ke destinasi mereka.

“Lembaga Pengarah, pemegang saham dan semua kakitangan MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa.

“Kami mengulangi permohonan maaf yang setulus-tulusnya atas sebarang kesulitan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk memaklumkan sebarang kemas kini sekiranya ada,” memetik kenyataan itu.

Pelanggan yang berdepan sebarang masalah boleh menghubungi [email protected] untuk mendapatkan bantuan sokongan.

Sumber: Astro awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top