Umum

Pejuang kanser payudara lakukan kembara solo mengelilingi Malaysia untuk kumpul dana

Sarlinawati Abdul Mues melakukan kembara motosikal secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia bagi mengumpul dana untuk Projek Bra Prostesis dan Mastektomi anjuran Cancer Survivor Malaysia (CSM).

Sarlinawati berusia 47 tahun yang juga pesakit kanser, telah disahkan menghidap kanser payudara tahap 4 pada Jun 2021.

Pengembaraan sejauh hampir 3,000 kilometer itu telah bermula di Institut Kanser Negara (IKN) pada 2 Oktober lalu, majlis pelepasan Kembara Solo Cancer Fighter di IKN, dengan menaiki skuter WM ES250i miliknya.

Mengikut jangkaan, pengembaraan solo itu akan mengambil masa hampir sebulan dan bakal berakhir di Ipoh, Perak.

Menurutnya semasa majlis pelepasan Kembara Solo Cancer Fighter di IKN, projek ini akan membantu meringankan beban kira-kira 100 pesakit kanser payudara yang kurang berkemampuan untuk membeli alat silikon berbentuk payudara, yang dianggarkan bernilai RM2,000.

Jelas Sarlinawati, antara pengisian sepanjang kembara itu ialah menyantuni pesakit kanser yang sedang mendapat rawatan di fasiliti kesihatan serta kediaman mereka di samping mengadakan beberapa sesi ceramah motivasi kepada pesakit kanser di negeri-negeri yang dilawati.

Antara lokasi yang akan disantuni ialah di Rompin dan Pekan di Pahang, Kemaman di Terengganu, Wakaf Bharu di Kelantan termasuk fasiliti kesihatan seperti Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Hospital Sultanah Aminah di Johor, Pusat Rawatan KMC di Perak dan Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Mengenali dunia permotoran dari usia 18 tahun menjadi punca idea untuk pejuang kanser itu melakukan kembara bagi menterjemahkan sokongan kepada pesakit kanser yang sedang berjuang ataupun yang sudah putus asa.

Sarlinawati yang sendirinya masih menerima rawatan untuk kanser berharap mereka (pesakit kanser) terima mesejnya untuk terus kuat dan memberi sokongan kepada semua.

Dalam memberi swmnagat kepada semua, beliau berkata “Jangan fikir kita bersendirian melawan kanser, kerana tanggapan ini yang ‘bunuh’ semangat kita.”

Kos perbelanjaan sepanjang kembara motosikal solo itu disumbangkan oleh beberapa individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta.

Sarlinawati menjelaskan beliau telah mendapatkan khidmat nasihat dan pengesahan tahap kesihatan daripada pakar perubatan di IKN dan disahkan berada dalam keadaan yang sesuai untuk melakukan kembara motosikal secara solo itu.

Berkongsi impian beliau, Sarlinawati berharap kembara itu mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kerana beliau berhasrat untuk mempersembahkan beberapa cadangan serta menyuarakan permasalahan yang dihadapi golongan wanita yang menghidap kanser payudara kepada Tunku Azizah.

“Beliau adalah model peranan saya, banyak memberi inspirasi dan motivasi kepada saya lebih-lebih lagi ketika kesukaran saya untuk mendapatkan zuriat. Alhamdulillah, saya dikurniakan seorang anak perempuan setelah tujuh tahun mencuba,” kongsinya lagi.

PALING POPULAR

To Top