Umum

N.Sembilan pantau pencemaran sungai elak jejas bekalan air Selangor

Kerajaan Negeri Sembilan akan memberi perhatian serius berhubung risiko berlakunya pencemaran sungai di negeri ini sehingga menjejaskan bekalan air buat penduduk di Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihak terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Badan Kawal Selia Air (BKSA) telah diarah untuk membuat pemantauan dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Ada sungai di Selangor yang bermula di Negeri Sembilan dan itu yang Menteri Besar Selangor selalu minta kita beri perhatian.

“Saya sudah maklumkan kepada JPS, JAS supaya beri perhatian serius kerana ia merupakan masalah masyarakat yang melibatkan jumlah yang ramai,” katanya.

Beliau berkata pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Pada 24 Disember lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat daripada tumpahan pati minyak wangi daripada lori membawa muatan itu yang terlibat kemalangan di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia.

Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Insiden itu menyebabkan 472 lokasi lima wilayah iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. –Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top