Umum

Tiada arahan daripada PM untuk Menteri isytihar harta – Rafizi

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli mengesahkan tiada arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Menteri Kabinet mengisytiharkan harta masing-masing.

Ahli Parlimen Pandan itu, berkata perkara mengenai pengisytiharan harta membabitkan jemaah Menteri itu tidak pernah dibincangkan termasuk di dalam mesyuarat kabinet.

“Setakat ini tidak ada,” katanya.

Rafizi berkata, sama ada terdapat menteri lain yang diarahkan berbuat demikian oleh Anwar atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ia di luar pengetahuannya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai sama ada arahan pengisytiharan harta dikeluarkan terhadap menteri kabinet Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, sebahagian besar daripada 72 calon PKR membuat pengisytiharan harta masing-masing berikutan syarat parti itu yang mahu semua calonnya berbuat demikian.

Malah, Anwar yang juga Presiden PKR telah mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM11.2 juta.

PALING POPULAR

To Top