Umum

Nak Tutup Pagar, Warga Emas Maut Dirempuh Kereta Sendiri

Gambar JBPM

Nak Tutup Pagar, Warga Emas Maut Dirempuh Kereta Sendiri

HULU SELANGOR – Seorang warga emas maut dalam kejadian menyayat hati selepas dipercayai terlupa menarik brek tangan sebelum dirempuh kereta sendiri yang mengundur di rumahnya di Batang Kali, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.18 petang itu, mangsa berusia 67 tahun dikatakan baru meletakkan keretanya di dalam garaj sebelum keluar untuk menutup pagar rumah.

Namun, kenderaan jenis Proton Saga itu tiba-tiba bergerak sendiri dalam keadaan mengundur sebelum melanggar mangsa hingga menyebabkan beliau tersepit di bawah kereta.

Garaj rumah dipercayai landai

Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tidak menarik brek tangan selepas memarkir kenderaannya.

Menurutnya, keadaan garaj rumah yang landai dan menurun ke arah pintu pagar dipercayai menjadi faktor kejadian.

“Kenderaan tersebut tiba-tiba mengundur sendiri dan melanggar mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dan tersepit di bawah kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk proses bedah siasat.

Bomba bantu keluarkan mangsa

Sementara itu, pihak bomba turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.43 petang.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kejadian itu turut mengundang perhatian ramai di media sosial dengan ramai menyifatkannya sebagai peringatan penting supaya sentiasa memastikan brek tangan ditarik sepenuhnya sebelum meninggalkan kenderaan.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top