Umum

Nama tersenarai Senarai Peringatan Pelabur, Mahadi minta penjelasan SC

Gambar Facebook

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menyenaraikan Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman atau lebih dikenali sebagai Mahadi BZ dalam Senarai Peringatan Pelabur di laman webnya.

Susulan itu, Mahadi dalam kenyataan telah menyatakan bagi mendapatkan penjelasan kepada tindakan tersebut, beliau telah menghadiri perjumpaan bersama suruhanjaya itu pada Selasa.

“Semasa mesyuarat itu, saya mengulangi komitmen saya yang tidak berbelah bahagi dalam mematuhi piawaian undang-undang dan etika yang ditetapkan merentas semua usaha perniagaan saya.

“Saya memiliki lesen sah di sisi undang-undang dan patuh syariah. Tambahan pula, syarikat yang saya wakili juga mematuhi undang-undang dan prinsip syariah.

“Bagaimanapun, pengerusi mesyuarat itu memaklumkan bahawa tiada maklumat tambahan yang tersedia selain daripada apa yang terdapat di laman web rasmi SC.

“Oleh itu, saya dinasihatkan untuk mengemukakan permohonan bertulis secara rasmi untuk mendapatkan butiran atau penjelasan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

SC menerusi laman rasmi mengeluarkan kemaskini terbaru Senarai Peringatan Pelabur yang dikaitkan dengan aktiviti pelaburan secara tidak sah sama ada melalui entiti mahupun individu.

Senarai itu memaparkan nama Mahadi dan syarikat beserta nombor kad pengenalan dengan peringatan menjalankan aktiviti pasaran modal tidak berlesen berhubung pemasaran saham Syarikat Awam Tidak Tersenarai.

Sehubungan itu, difahamkan Mahadi mengarahkan peguamnya untuk mengemukakan surat rasmi kepada SC bagi mendapatkan maklumat komprehensif dan penjelasan sebab nama beliau diletakkan dalam Senarai Peringatan Pelabur.

“Sementara menunggu penjelasan daripada SC, saya ingin menekankan bahawa saya secara konsisten mematuhi piawaian yang ditetapkan.

“Sebagai seseorang yang memiliki dan telah berjaya menyelesaikan Modul 6 dan 7 Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), saya sentiasa beroperasi dalam lingkungan undang-undang.

“Tambahan pula, saya telah dilantik sebagai ejen rasmi kepada entiti terlibat sebagaimana yang dibuktikan melalui surat pelantikan rasmi.

“Selain itu, semua syarikat yang diwakili saya termasuk penyerahan SC, surat dan pakar undang-undang serta syariah, mengesahkan pematuhan mereka terhadap prinsip syariah dan pematuhan undang-undang,” jelas beliau.

PALING POPULAR

To Top