Umum

Orang Asli Johor buntu, tarikh akhir pengusiran makin hampir

Masyarkat Orang Asli di Bekok, Segamat, Johor berdepan jalan buntu ketika tarikh akhir untuk mereka mengosongkan Kampung Orang Asli Selai – kediaman mereka selama lebih 112 tahun – semakin hampir, iaitu dalam masa empat hari.

Bercakap kepada Malaysiakini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Johor Achai @ Juti Kais berkata penduduk kampung bimbang dengan nasib mereka menjelang ketibaan Selasa depan, 20 Jun.

Achai juga melahirkan rasa kecewa kerana tidak menerima sebarang maklum balas daripada pejabat Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) walaupun telah mengutus surat kepada mereka mengenai perkara yang mendesak itu.

“Kami merancang untuk mengadakan bantahan kerana tiada maklum balas daripada kedua-dua pejabat menteri besar Johor dan Jakoa.

“Kami benar-benar berharap mereka akan menjawab secepat mungkin kerana tarikh akhir semakin hampir,” kata Achai kepada Malaysiakini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa penduduk didakwa menceroboh “tanah milik kerajaan” dan diberikan notis oleh pejabat Tanah dan Daerah Segamat pada 22 Mei supaya mengosongkan tanah itu.

Mereka diberi masa 30 hari untuk mengosongkan tanah itu dari tarikh notis berkenaan disampaikan.

Selain penduduk kampung di Segamat yang berdepan dengan masalah ini, Achai juga mendakwa masyarakat Orang Asli di Mersing dan Kluang turut diberi notis yang sama pada hari yang sama.

Katanya, penduduk bimbang mereka akan kehilangan segala-galanya dan bakal diusir.

Achai juga memberitahu bahawa mereka telah ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Jawatankuasa Mengenai Hak Orang Asli, Majlis Peguam (COAR) pada Selasa, 13 Jun lalu untuk mendapatkan nasihat undang-undang.

Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan keputusan mesyuarat itu.

Ketika dihubungi, Pengerusi COAR Seira Sacha Abu Bakar memberitahu Malaysiakini bahawa dia menasihati Achai dan kumpulan Orang Asli yang berjumpa dengannya supaya memulakan prosiding undang-undang.

“Kira-kira 24 daripada mereka datang menemui kami pada hari Selasa dan memberitahu kami apa yang berlaku ketika ini,

“Setelah perbincangan, kami merumuskan bahawa cara terbaik untuk menyelesaikan isu itu adalah dengan mendapatkan perintah mahkamah,”  kata Seira.

Sebelum ini, pada 16 Mac lalu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan kerajaan negeri supaya mengisytiharkan semua rizab dan kampung Orang Asli sebagai tanah kesultanan bagi mengelak sebarang penyelewengan ke atas tanah berkenaan.

Baginda bertitah perkara ini perlu kerana segelintir Orang Asli telah menukar hutan simpan negeri menjadi ladang kelapa sawit dan getah yang luas.

Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) melindungi rizab Orang Asli daripada pengasingan atau pelupusan, tetapi kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk membatalkan perlindungan ini.

Sementara itu, Enakmen Tanah Kesultanan Johor menyatakan “tanah kesultanan” dimiliki oleh sultan dan tidak boleh dijual, dipajak, atau dilupuskan tanpa kebenaran bertulis sultan.

Bagaimanapun, cadangan klasifikasi “tanah kesultanan” itu dikatakan mendapat bantahan daripada masyarakat Orang Asli.

Achai berkata jawatankuasanya menghantar surat membantah cadangan itu kepada pejabat menteri besar Johor pada 3 Mei.

Sumber: Malaysiakini

PALING POPULAR

To Top