Umum

Mahkamah Kuantan akan dengar permohonan 137 Orang Asli batal status peluk Islam

Mahkamah Tinggi di Kuantan akan mendengar permohonan oleh 137 Orang Asli daripada etnik Bateq Mayah yang mencabar untuk membatalkan status Islam mereka berikutan penukaran agama beramai-ramai yang didakwa menyalahi undang-undang 30 tahun lalu.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur awal hari ini membenarkan permohonan 137 plaintif itu untuk memindahkan writ saman ke mahkamah sivil di Pahang.

Peguam yang mewakili kumpulan Orang Asli itu, Fahri Azzat mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa permohonan pemindahan itu dibenarkan, tanpa bantahan yang dibangkitkan oleh defendan lain.

Tindakan sivil itu menamakan enam defendan iaitu Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), pengarah dan pegawainya, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (Muip), kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Dengan pemindahan itu, Mahkamah Tinggi di Kuantan juga akan mendengar pelbagai permohonan interlokutori oleh defendan.

Lima daripada defendan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan mahkamah atas beberapa alasan, antaranya tindakan sivil difailkan 29 tahun selepas dakwaan penukaran agama secara besar-besaran, dan dengan itu difailkan di luar masa mengikut Seksyen 2 Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 dan Seksyen 6 Akta Had 1953.

Defendan lain, Muip memfailkan permohonan untuk mempertikaikan bidang kuasa mahkamah sivil untuk mendengar kes itu kerana isu yang dibangkitkan dalam tindakan sivil itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah Pahang.

Saman yang difailkan pada 28 Sept tahun lalu itu, mendakwa tertuduh melakukan pertukaran agama secara salah dan haram ke atas Orang Asli di Kampung Benchah Kelubi, Merapoh, Kuala Lipis, Pahang, pada April 1993.

Kertas kausa mendakwa bahawa 57 daripada plaintif telah bertukar agama semasa kejadian itu manakala baki plaintif adalah anak mereka, yang dilahirkan kemudian dan juga mempunyai perkataan Islam pada kad pengenalan mereka kerana keturunan.

Plaintif mendakwa bahawa pada awal 1993, wakil Jakoa bukan sahaja telah meminta dua ketua kampung untuk memeluk agama Islam tetapi juga meminta penduduk kampung lain berbuat perkara yang sama.

Mereka mendakwa apabila penduduk kampung enggan berbuat demikian, seorang pegawai Jakoa yang melawat kampung itu telah mengeluarkan beberapa ugutan untuk memastikan penukaran agama mereka.

Antara ugutan itu ialah penduduk kampung tidak akan dibenarkan tinggal di kampung tersebut lagi, rumah dan tanaman mereka akan dimusnahkan, orang kampung akan dihalau dan diseksa jika mereka lari ke gunung.

Plaintif mendakwa bahawa penduduk kampung tidak dimaklumkan tentang implikasi undang-undang apabila memeluk Islam, iaitu mereka akan tertakluk kepada rangka kerja perundangan Islam Pahang dan anak yang dilahirkan kepada mereka secara automatik juga beragama Islam.

Plaintif mendakwa walaupun mereka menganut atau mengamalkan Islam berikutan penukaran agama secara besar-besaran itu namun mereka terus mengamalkan kepercayaan budaya serta agama Bateq Mayah.

Mereka mendakwa bahawa selepas tahun 2,000 apabila lebih ramai penduduk kampung belajar bercakap asas Bahasa Melayu, mereka kemudian menyedari bahawa perkataan “Islam” tertera pada kad pengenalan mereka.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top