Umum

Pakar ekonomi kritik cadangan guna simpanan KWSP sebagai cagaran pinjaman

Pakar ekonomi meluahkan keraguan terhadap cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan mereka sebagai cagaran pinjaman bank.

Mereka turut mempersoalkan keberkesanan cadangan tersebut untuk digunakan sebagai jalan penyelesaian dalam menangani kos sara hidup semasa.

Adilah Zafirah dari badan pemikir Iris Institute berkata kajian menunjukkan hubungan antara peningkatan hutang isi rumah dan pertumbuhan keluaran lebih rendah, kadar pengangguran tinggi, dan kemungkinan besar krisis perbankan masa depan.

“Kerajaan harus mencari penyelesaian yang lebih baik dan bukan hanya memberi ‘ubat tahan sakit’ bagi melegakan kesakitan buat sementara waktu,” katanya.

Anwar mencadangkan skim itu dalam menghadapi tekanan yang semakin memuncak bagi pengeluaran bersasar daripada dana persaraan tersebut.

Beliau berkata kemudahan itu hanya untuk mereka yang sangat memerlukan wang, sambil menambah ini adalah cara terbaik untuk membantu pencarum dalam keadaan sekarang.

“Maka saya akan pastikan supaya KWSP memberikan ruang kepada pencarum yang mempunyai wang dan dalam keadaan terdesak pinjam dari bank, dengan kolateral jaminan cagaran bank, ini yang terbaik,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 9 Mac lalu.

Pakar ekonomi Ahmed Razman Abdul Latiff berkata menggalakkan orang ramai untuk membuat pinjaman akan membawa kepada peningkatan hutang isi rumah, yang katanya mengetepikan 90% daripada KDNK dan merupakan antara kadar tertinggi di rantau ini.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata ia juga memerlukan pindaan kepada Akta KWSP yang pada masa ini tidak membenarkan penggunaan caruman sebagai cagaran.

Razman, dari Putra Business School, turut menggesa kerajaan menyediakan skim pembiayaan alternatif tanpa faedah.

Kerajaan membenarkan beberapa pusingan pengeluaran KWSP untuk membantu mengurangkan kesan ekonomi Covid-19 pada kemuncak pandemik itu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan baru-baru ini berkata pengeluaran bersasar ini boleh mengakibatkan tahap simpanan berkurangan sehingga 70% bagi pencarum Bumiputera.

Bekas jurubank Muhammad Zahid Abdul Aziz berpendapat simpanan KWSP untuk persaraan hanya terpakai bagi mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan tinggi, T20.

Zahid yang sebelum ini bersama Bank Islam, juga berkata beberapa pencarum melihat dana persaraan mereka habis dalam beberapa tahun.

“Walaupun dana itu tidak dikeluarkan, simpanan itu akan ditelan oleh inflasi yang meningkat secara mendadak,” tambahnya.

Beliau memberi contoh pencarum KWSP dengan simpanan RM15,500 ketika bersara hanya akan mendapat RM69 sebulan untuk dibelanjakan selepas persaraan pada kadar dividen semasa 5.35% setahun.

Seorang individu dengan simpanan RM150,000 akan mempunyai RM668 sebulan, dan pencarum dengan simpanan RM300,000 hanya RM1,337 sebulan, katanya.

“Apa yang kita dengar mengenai kadar inflasi 4% ialah perbezaan dalam setahun,” katanya.

“Harga asas dari 2003 hingga 2023, sebagai contoh, boleh mencapai 300% hingga 400%.”

Justeru, Zahid menggesa supaya kerajaan hanya memberi kebenaran pengeluaran simpanan KWSP kepada mereka yang benar-benar berdepan masalah kewangan dan tidak mempunyai cara lain untuk menampung perbelanjaan mereka.

“Tetapi sudah pasti terdapat banyak cara lain selain mencadangkan pencarum membuat lebih banyak pinjaman dengan mencagarkan simpanan KWSP,” katanya.

Menurut KWSP, pada Disember 2021 perlindungan sosial negara sudah mencapai hadnya selepas beberapa siri pengeluaran akibat krisis kesihatan susulan penularan Covid-19.

Ia berkata skim seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra mengakibatkan pengaliran keluar sebanyak RM101 bilion melibatkan 6.1 juta ahli.

Ini sekali gus menyebabkan ada dalam kalangan pencarum mempunyai simpanan kurang RM10,000. 

Daripada jumlah ini, 3.6 juta mempunyai simpanan kurang RM1,000.

Ia juga mengatakan majoriti mereka yang membuat pengeluaran kecemasan adalah pencarum Bumiputera.

“Hasilnya, 4.4 juta atau 54% pencarum Bumiputera kini mempunyai kurang RM10,000, dan dua juta atau 25% mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000.

“Ini amat membimbangkan kerana ia mencerminkan peningkatan peratusan pencarum yang tidak boleh mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000, iaitu jumlah minimum yang diperlukan ketika mencapai umur 55 tahun,” katanya.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

To Top