Umum

Wakil tunggal GERAKAN akan dilantik EXCO Kedah – Sanusi

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan wakil tunggal GERAKAN yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah pada Sabtu lalu boleh dilantik sebagai EXCO kerajaan negeri.

Justeru, beliau berkata, wakil parti itu, Wong Chia Zhen, yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulim akan dipertimbang untuk mengisi portfolio bersesuaian.

“Kita ada wakil GERAKAN bukan Islam dan dia boleh menyertai kerajaan negeri untuk mewakili bukan Islam, bukan Melayu.

“Saya juga tidak ada masalah untuk berkhidmat kepada bukan Melayu di Kedah, tidak ada diskriminasi,” katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Terdahulu Muhammad Sanusi melafaz sumpah memegang jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit.

Chia Zhen satu-satunya calon bukan Melayu yang mewakili PN yang dalam PRN Sabtu lalu.

Beliau menang di DUN Kulim dengan majoriti 7,742 selepas meraih 23,278 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Teh Lean Ong yang hanya meraih 15,536 undi.

DUN Kulim satu-satunya kerusi dimenangi GERAKAN berbanding keseluruhan 37 kerusi yang diwakili calon parti itu pada PRN.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top