Pelabur asing terus menjual bersih RM187.8 juta ekuiti Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut pada minggu disingkatkan disebabkan cuti umum pada Isnin sempena Aidilfitri.
Menurut, MIDF Research pelabur asing telah menjual setiap hari pada minggu lalu dan menjadi penjualan bersih selama 11 daripada 17 minggu dengan jumlah aliran bersih sebanyak RM2.12 billion.
Manakala, pada minggu lalu aliran keluar pelabur asing menerusi penjualan saham bernilai RM151.11 juta di Bursa Malaysia dalam minggu dagangan singkat yang berakhir pada 20 April, 2023, kata MIDF Research.
Dalam laporan aliran dananya bagi minggu lepas, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkata pelabur asing melakukan penjualan saham berjumlah RM22.82 juta pada Selasa, RM93.57 juta pada Rabu dan RM68.83 juta pada Khamis.
Selain itu, MIDF Research berkata sektor dengan aliran keluar paling ketara adalah perkhidmatan kewangan (RM139.5 juta), teknologi (RM44.8 juta) dan utiliti (RM15.7 juta).
Selain itu, tiga sektor utama yang menyaksikan aliran masuk bersih asing pada minggu lepas adalah telekomunikasi dan media (RM44.4 juta), penjagaan kesihatan (RM18.4 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM9.7 juta).
“Setakat tahun ini, warga asing menjual ekuiti Malaysia secara bersih selama 10 minggu daripada 16 minggu yang berjumlah RM1.93 bilion,” katanya.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan menjadi penjual bersih pada minggu lepas dengan aliran keluar sebanyak RM7.3 juta selepas berperanan sebagai pembeli bersih selama dua minggu.
“Mereka menjual sejumlah RM25.72 juta pada Isnin dan RM25.63 juta pada Selasa manakala bertindak melakukan belian bersih RM30.08 juta pada Rabu dan RM14.02 juta pada Khamis.
“Setakat tahun ini, mereka menjadi pembeli bersih bagi tempoh 11 minggu daripada 16 minggu yang berjumlah RM1.82 bilion,” katanya.
Selain itu, peruncit tempatan muncul sebagai pembeli bersih utama minggu tersebut dengan mencatat RM158.3 juta, sekali gus mengubah trend jualan bersih kumpulan itu selama tiga minggu berturut-turut.
“Jumlah itu adalah yang terbesar sejak minggu berakhir 10 Februari lepas. Mereka telah bertindak sebagai pembeli bagi tempoh lapan daripada 16 minggu tahun ini dengan jumlah sebanyak RM108.14 juta,” katanya.
Dari segi penyertaan, MIDF Research berkata wujud peningkatan purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan iaitu 6.5 peratus manakala institusi tempatan dan pelabur asing mencatat penurunan sebanyak 4.4 peratus dan 7.6 peratus.
– BERNAMA