Umum

KWSP: Majikan terkesan, pekerja juga terbeban

Setiap kali pada 1 Mei, rakyat Malaysia yang bergelar pekerja terutama yang makan gaji pasti akan tertunggu-tunggu kemungkinan ada pengumuman baharu daripada kerajaan melibatkan kebajikan mereka.

Pada tahun ini, terdapat cadangan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada majikan dinaikkan daripada 13 kepada 20 peratus sehingga menarik perhatian ramai.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan membawa cadangan tersebut kepada jemaah menteri untuk dibincang, diputus dan dilaksanakan secara adil bagi kedua-dua belah pihak iaitu pekerja dan majikan.

Dari sudut positif, cadangan diusulkan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) itu sememangnya baik bagi membantu golongan pekerja yang semakin terbeban dengan keadaan ekonomi semakin mencabar.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, lebih 15 juta pekerja berhadapan pelbagai cabaran yang tidak dapat dibayangkan sama sekali demi memastikan kelangsungan hidup.

Namun, kalau dilihat secara kasar, kenaikan itu sebenarnya lebih membebankan majikan yang terpaksa menambah kos operasi.

Ambil contoh mudah sebuah syarikat kecil mempunyai 20 pekerja yang purata gaji sebanyak RM3,000. Jika sekarang majikan mengeluarkan RM7,800 sebulan untuk caruman KWSP pekerja, apabila dinaikkan kepada 20 peratus dengan jumlah pekerja dan gaji yang sama, jumlahnya akan meningkat kepada RM12,000 sebulan.

Bagaimana pula sekiranya jumlah pekerja yang mencecah ratusan atau ribuan orang, sudah tentu lebih menyulitkan. Dan akhirnya majikan terpaksa mengurangkan jumlah pekerja.

Akan tetapi, majikan juga perlu mengambil kira kebajikan pekerja yang merupakan aset mereka, lebih-lebih antara mereka yang masih tidak mempunyai simpanan mencukupi apabila bersara kelak.

Untuk itu, kerajaan perlu mengambil kira situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak agar pekerja dapat manfaat dalam cadangan tersebut, dalam masa sama majikan tidak terlalu terbeban dengan kenaikan kos.

Bagi golongan pekerja pula, cadangan tersebut sepatutnya menjadi pembakar semangat untuk melipatgandakan produktiviti mereka dengan bekerja lebih bersungguh-sungguh.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top