Umum

Pemimpin UMNO, BN tercorot dalam kajian tokoh boleh dipercayai: UUM

Kepemimpinan tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN) berada dalam kalangan tercorot dalam satu kajian tahap kebolehpercayaan membabitkan 13 pemimpin politik, yang dijalankan Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Kajian ‘Sentimen Masyarakat terhadap Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Malaysia’ dilakukan Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) UUM itu membabitkan 2,716 responden.

Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan tokoh paling dipercayai dalam kalangan 13 pemimpin politik negara.

Dalam kajian itu Muhyiddin memperoleh markah kebolehpercayaan sebanyak 20 peratus berbanding tokoh lain.

Menurut kajian itu, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menduduki tempat keenam apabila 9.5 peratus daripada responden itu mempercayai beliau.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tokoh kedua paling dipercayai dengan memperoleh markah 19.2 peratus.

Menariknya kajian itu mendapati, walaupun berada di dalam penjara, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah tokoh ketiga paling dipercayai berbanding pemimpin UMNO yang lain.

Najib memperoleh 11.3 peratus markah kebolehpercayaan menerusi kajian yang dijalankan mulai 6 September hingga 5 November 2022.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula merupakan tokoh keempat paling dipercayai dengan memperoleh 10.3 peratus, manakala Pengerusi Gerakan Tanah Air Tun Dr Mahathir Mohamad di tempat kelima (10.2 peratus).

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merupakan satu-satunya tokoh wanita dipercayai yang termasuk dalam senarai berkenaan dan beliau memperoleh 5.9 peratus.

Tokoh-tokoh lain adalah Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (1.4 peratus); Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu (1.3 peratus); dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng (1.3 peratus).

Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperoleh markah kebolehpercayaan sebanyak 0.8 peratus daripada 2,176 responden yang ditanya, manakala Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran (0.2 peratus) dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (0.1 peratus).

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top