Umum

200 rumah terjejas banjir kilat di Klang, lapan mangsa diselamatkan

Lapan mangsa diselamatkan pasukan penyelamat ekoran banjir yang melanda di Kampung Johan Setia, Klang, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya telah menerima panggilan 5.49 petang dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dan Balai Bomba dan Penyelamat Andalas sampai di lokasi 7.30 malam.

“Mengikut laporan awal kedalaman air adalah lebih dua kaki dan terdapat lima mangsa yang diselamat oleh pasukan bomba sukarela dan tiga mangsa warga emas diselamatkan anggota bomba,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, secara keseluruhan kira-kira 200 rumah di kampung itu terjejas akibat kejadian banjir kilat berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan laporan awal, paras air di beberapa tempat di kawasan berkenaan mencecah sehingga lebih setengah meter susulan hujan lebat pada sebelah petangnya, namun beberapa jam kemudian paras air semakin beransur surut.

Bagaimanapun menurutnya operasi pemindahan mangsa masih diteruskan dengan seramai 30 mangsa dari lapan buah rumah telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Johan Setia.

“Ketika ini paras air banjir di kawasan itu semakin surut, dalam suasana hujan renyai,” katanya.

Beliau berkata selain bomba, operasi itu turut melibatkan polis, bomba sukarela, Kementerian Kesihatan, Pejabat Daerah Klang dan Angkatan Pertahanan Awam.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top