Umum

Penganggur dihukum penjara dan denda RM1000 kerana mencuri barangan di bilik hotel

Gambar Hiasan

Seorang penganggur berusia 30 tahun dijatuhkan hukuman penjara 4 bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di Melaka, pada hari Jumaat, kerana mencuri barangan milik sebuah hotel bernilai lebih RM500 pada bulan lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ng Jiun Loong selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat telah melakukan kecurian barangan milik hotel iaitu kotak amenities, tuala mandi, bakul buluh, bantal dan bantal sofa berserta sarung serta gelas kaca yang keseluruhannya bernilai RM585.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik The Pine Hotel, Jalan Tun Sri Lanang di Melaka, pada jam sekitar jam 1.26 petang, 23 Oktober lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang sekiranya disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda, manakala penjara atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman diringankan dengan alasan dia tidak bekerja dan menghidap sakit Systemic Lupus Erythematous (SLE).

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 4 bulan bermula dari tarikh ditangkap dan denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

PALING POPULAR

To Top