Umum

Pengeluaran i-Citra KWSP sehingga RM5,000

Kerajaan akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu i-Citra, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000, dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan selama lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan semasa.

“Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

“Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, hakikatnya ia merupakan keputusan sukar kerana Kerajaan sedar, dana tersebut adalah simpanan hari tua rakyat, dan penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak hari ini, dan pulangan yang wajar bagi ahli-ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

PALING POPULAR

To Top