Umum

Roger Ng dipenjara 10 tahun berhubung kes rasuah 1MDB

Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng dijatuhi hukuman 10 tahun penjara pada Khamis kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana 1MDB.

Pada April tahun lepas, juri Mahkamah Persekutuan New York City di Brooklyn mendapati Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, bersalah membantu bekas bosnya, Tim Leissner, menggelapkan wang daripada dana kekayaan itu, mengubahnya secara haram dan merasuah pegawai kerajaan bagi mendapatkan perniagaan.

Tuduhan itu berkait kira-kira USD6.5 bilion dalam bentuk bon 1MDB yang dibantu oleh Goldman untuk dijual pada 2012 dan 2013. 1MDB diasaskan bagi membiayai projek pembangunan di Malaysia.

Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) berkata, USD4.5 bilion daripada jumlah berkenaan digelapkan beberapa pegawai, pegawai bank, dan pihak terdekat, dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street itu.

Dana itu kemudian digunakan untuk membeli hartanah mewah, barang kemas serta karya seni, serta membiayai pembikinan filem Hollywood, “The Wolf of Wall Street”, menurut Jabatan Kehakiman AS.

Hakim Mahkamah Daerah AS Margo Brodie, yang menjatuhkan hukuman, berkata Ng dan defendan bersamanya “secara licik mencuri wang” yang diperuntukkan bagi tujuan projek pembangunan dan ekonomi untuk membantu rakyat Malaysia.

“Sangat penting untuk mengekang jenayah bersandarkan ketamakan seperti ini,” kata Brodie.

Ng bercadang merayu hukumannya, kata peguamnya, Marc Agnifilo kepada pemberita selepas pendengaran.

Sebelum ini, Ng mengaku tidak bersalah dan berhujah bahawa sogokan USD35 juta didakwa diterimanya merupakan pulangan pelaburan dibuat isterinya

Skandal 1MDB menggegarkan politik Malaysia dengan bekas perdana menteri Najib Razak dipenjarakan selama 12 tahun selepas disabit bersalah oleh mahkamah Malaysia kerana menerima USD10 juta dari anak syarikat 1MDB. Najib menafikan pembabitannya.

Pendakwa raya persekutuan di Brooklyn, memohon Brodie mengenakan hukuman 15 tahun penjara terhadap Ng.

Dalam kenyataan selepas arahan hukuman, Peguam AS bagi Eastern District New York, Breon Peace, berkata hukuman dikenakan menunjukkan “ada harga besar untuk dibayar bagi rasuah korporat.”

Sebelum ini, Ng memohon tiada hukuman pemenjaraan dikenakan dan dia dibenarkan pulang ke Malaysia atas alasan sudah menjalani hukuman penjara enam bulan yang dikatakan Agnifilo, “hampir membunuhnya dan menjejaskan kesihatan mentalnya”.

Dalam mahkamah pada Khamis, Ng memberitahu Brodie, dia mahu pulang ke Malaysia untuk menjaga ibunya yang sudah tua, dan ingin bersama anak perempuannya.

“Kali terakhir dia berada dalam pangkuan saya lima tahun lalu,” katanya. “Dia berumur enam tahun ketika itu. Kini, sudah berusia 11 tahun pada Jun.”

Brodie berkata, beliau mengambil kira impak hukuman dikenakan terhadap kanak-kanak secara serius, namun pemisahan Ng daripada anak perempuannya bukanlah “kesan unik”.

Leissner pernah menjadi ketua Asia Tenggara mewakili Goldman. Dia mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Ng sebagai sebahagian daripada perjanjian memberi kerjasama. Dia belum lagi dikenakan hukuman.

Jho Low, didakwa menjadi dalang skim terbabit dituduh bersama Ng, pada 2018, namun masih tidak dapat dijejak.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar USD2.5 bilion dengan unitnya di Malaysia mengaku bersalah terhadap tuduhan rasuah.

Sumber: FMT

PALING POPULAR

To Top