Umum

Perbicaraan kes saman SRC terhadap Najib ditetapkan 2025

Kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak ditetapkan untuk perbicaraan penuh pada 2025.

Peguam Kwan Will Sen berkata, saman sivil yang difailkan SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd akan didengar di hadapan pesuruhjaya kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

“Tarikh perbicaraan penuh pada 2025 ialah 13 hingga 17 Jan, 20 hingga 24 Jan, 12 hingga 14 Feb, 17 hingga 21 Feb, dan 24 hingga 26 Feb,” kata peguam mewakili SRC International dan Gandingan Mentari itu kepada Malaysiakini.

Kwan berkata saman sivil itu ditetapkan untuk pengurusan kes pagi ini, dan mahkamah menetapkan 4 Ogos tahun ini untuk pengurusan kes lanjutan bagi pihak-pihak terlibat untuk mengemaskini status arahan pra-perbicaraan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Najib, Alaistair Brandah Norman mengesahkan tarikh perbicaraan penuh pada 2025.

Saman itu adalah satu daripada 22 tindakan sivil oleh SRC International dan 1MDB dua tahun lalu yang menyasarkan mereka yang didakwa menipu dua entiti milik kerajaan itu, sama ada secara sedar atau tidak.

Najib kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas disabitkan bersalah dalam kes rasuah membabitkan dana RM42 juta SRC International.

SRC International ialah bekas anak syarikat 1MDB yang kemudiannya menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). 1MDB juga dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc.

Tahun lepas SRC International memperoleh injunksi Mareva daripada mahkamah untuk menghalang bekas perdana menteri itu daripada melupuskan aset sehingga RM42 juta, sementara menunggu saman berkenaan.

Najib juga menghadapi perintah injuksi Mareva yang serupa berkaitan saman sivil berjumlah AS$8 bilion (RM35 bilion) yang difailkan 1MDB terhadapnya.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top