Umum

Perjalanan udara semakin pulih menjelang tahun 2024

Gambar Hiasan

Penganalisa berpendapat perjalanan udara bagi tujuan perniagaan dan riadah dijangka terus pulih sepanjang tahun ini dan akan kembali ke paras pra-pandemik menjelang tahun 2024.

Kenanga Research menyatakan dalam nota penyelidikannya, ketibaan pelancong di Malaysia dijangka melonjak 60 peratus kepada 16 juta dalam 2023 berbanding anggaran 10 juta setahun yang lalu berdasarkan kenyataanTourism Malaysia.

Menurut laporan Berita Harian, ia berkata, pemacu utama ialah pelancong China yang mengikut sejarah menyumbang kepada anggaran 12 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong di Malaysia.

Pada 2024, diunjurkan ketibaan pelancong akan berkembang sebanyak 24 peratus lagi kepada 20 juta pelancong berbanding paras pra-pandemik iaitu 26 juta pelancong.

Kenanga Research menjangkakan trajektori trafik akan semakin berkembang pada bulan-bulan berikutnya selari dengan pengaktifan semula lebih banyak pesawat oleh syarikat penerbangan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) menyaksikan kembalinya Kuwait Airways selepas pemberhentian tujuh tahun, manakala dua lagi syarikat penerbangan asing iaitu KLM Royal Dutch Airlines dan All Nippon Airways, masing-masing akan meneruskan operasi penerbangan tanpa henti ke Amsterdam dan Tokyo, selepas menghentikan sementara operasi berikutan pandemik COVID-19.

Selain itu, Malaysia Airlines telah meningkatkan kekerapan penerbangannya ke Tokyo mulai November 2022, memenuhi lonjakan permintaan perjalanan selepas Jepun membuka semula sempadannya kepada pengembara antarabangsa.

Sementara itu, Kumpulan AirAsia menumpukan pada operasi jarak sederhananya dan telah meningkatkan penerbangan Malaysia AirAsia X kepada 44 kali seminggu merentasi 10 laluan mulai November 2022.

 

 

Sumber Berita Harian

PALING POPULAR

To Top