Umum

Permohonan saman terhadap Abdul Hadi dibatalkan

Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa, membatalkan permohonan dua penganut Kristian dari Sabah untuk mengembalikan saman terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung isu menghasut terhadap penganut agama itu, tujuh tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah selepas mendapati permohonan itu dibuat tanpa mengikut aturan.

Turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Harminder Singh Dhaliwal.

Mahkamah juga tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Ketika prosiding dibuat secara dalam talian, peguam, R.

Kengadharan hadir bagi pihak Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian manakala Abdul Hadi oleh peguam, Yusfarizal Yussof.

Pada 9 Disember 2020, Maklin dan Lawrence selaku plaintif memfailkan saman dengan mendakwa bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Bertaraf Menteri ini telah mengeluarkan satu penyataan menghasut berhubung penganut atau mubaligh Kristian.

Mereka mendakwa Abdul Hadi telah membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap penganut agama itu dan mubalighnya yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada 18 Januari 2016.

Pada 7 Mei 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman tersebut dengan kos punitif berjumlah RM100,000 selepas mendapati tindakan tersebut adalah remeh dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top