Umum

RM5, makan atau isi minyak? Orang bujang buat 2 kerja untuk hidup

Jay Pillai, 29, tidak pernah menyangka dengan pendapatan tahunan sebanyak RM41,000 tidak membawanya ke arah hidup yang lebih baik apabila terus ditekan dengan kos sara hidup yang tinggi. 

Pada waktu siang, dia menjadi penganalisis data di sebuah syarikat swasta di Cyberjaya.

Di sebelah malam, dia menjadi penghantar makanan dengan beg hijau di belakang motornya sejak Oktober tahun lalu.

Jay berkata pada mulanya dia berasa malu kerana perlu melakukan dua kerja sedangkan bergelar graduan ijazah daripada universiti terkemuka di luar negara.

Kini, selepas lebih empat tahun pulang ke Malaysia, Jay menemukan dirinya bekerja lebih 60 jam seminggu.

“Sebelum ini saya malu, sekarang saya mula rasa bersyukur kerana berpeluang untuk melakukan satu kerja yang boleh perbaiki keadaan kewangan saya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya masih ada ibu bapa yang perlu disara dan dijaga selain dua adik yang masih belajar.”

Katanya, jumlah gaji bulanan tidak mencukupi untuk membayar bil dan kos harian termasuk insurans kesihatan.

Jay berkata kerja sambilannya itu membantu mengurangkan keresahannya terhadap beban kewangan.

Tetapi, dia akur ianya masih belum mencukupi untuk menyelesaikan semua bayaran bil dan pinjamannya.

Selepas menolak bayaran pinjaman kenderaan; sewa rumah, insurans, kos petrol, tol, dan lain-lain dia hanya tinggal kira-kira RM370 untuk makanan dan kecemasan.

“Saya pernah ada baki RM5 di tangan, saya terfikir nak makan atau isi minyak motor?

“Ketika itu saya fikir, tiada cara lain. Kerja kedua adalah caranya untuk atasi masalah ni. Susahkan diri lebih baik daripada susahkan orang lain.”

Apa yang dilakukan oleh Jay selari dengan Laporan Kerja Jarak Jauh 2022 yang mendapati 66% daripada kalangan pekerja berpengetahuan mempunyai sumber pendapatan kedua kerana kenaikan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa.

Golongan bujang dan bekerja dilaporkan membuat kerja tambahan sejak lebih lima tahun lalu. 

Pada tahun 2015, Ahmad Maslan yang ketika itu timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri menyebut melakukan dua kerja bukan sesuatu yang “luar biasa”.

Dalam pada itu, golongan bujang yang mempunyai pendapatan isi rumah jauh melebihi paras kemiskinan mengatakan mereka juga tidak mempunyai pilihan lain selain membuat pekerjaan kedua.

Tan Sheng Ang dari Shah Alam bekerja sebagai penyelia makmal di sektor swasta nekad menjadi pemain gitar di kelab pada waktu malam dengan pendapatan tambahan kira-kira RM3,000 sebulan.

“Saya perlu ambil dua kerja untuk pastikan saya tak ‘lemas’ tinggal di bandar.

“Saya tak pandai memandu kereta jadi susah nak dapatkan kerja yang lain.

“Tapi saya pandai main gitar, mereka boleh bayar saya bermain di kelab atau restoran dan bar,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sejak Ogos tahun lalu, Tan mengambil masa sekitar dua jam dari pejabatnya ke tempat dia bermain muzik menggunakan pengangkutan awam.

“Dulu saya kerja dalam 40 jam seminggu. Kini dalam 60 hingga 70 jam seminggu. Hari minggu atau cuti umum banyak pelanggan di bar. 

“Saya boleh dapat duit poket lebih,” katanya.

Berbeza dengan Nor Awein dan rakan serumahnya Farah Dayana, mereka bertungkus lumus bekerja selama 12 jam pada setiap hari Sabtu untuk menampung perbelanjaan bagi bil-bil yang “mengejut.” 

Antaranya bil untuk membayar kos kereta rosak, kos perubatan, duit simpanan, kad perubatan dan belanja dapur pada musim cuti panjang. 

Bekerja sebagai pembantu tadika dan kerani, kedua-dua mereka mengakui pendapatan bulanan di bawah RM3,000 tidak mencukupi untuk menampung kos hidup di bandar besar seperti Johor Bahru.

Dengan itu, kerja sambilan mengasuh atau menjaga kanak-kanak dan orang tua di rumah persendirian menjadi penyelamat poket mereka setiap bulan. 

“Saya mula dengan tolong rakan jaga anaknya selepas itu dia sendiri yang sebarkan tentang perkhidmatan saya dan ramai hubungi untuk saya datang ke rumah.

“Kebanyakan mereka bekerja di Singapura pada Sabtu dan anak-anak tidak bersekolah.

“Saya akan mengasuh dan bantu buat kerja rumah,” kata Awien. 

Selepas tiga bulan, permintaan kepada khidmatnya bertambah. 

Dia meminta Farah untuk mengambil kerja-kerja tersebut.

“Kami boleh dapat pendapatan tambahan dalam RM1,800 hingga RM2000 sebulan mengikut jam bekerja.” 

Tanpa kerja kedua, mereka menyifatkan tidak mampu menyediakan makanan di dapur dan meja makan.

“Saya tiada peluang lain, ini saja cara untuk bantu diri sendiri,” kata Awein.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

To Top