Umum

Peruntukan RM400j beli bekalan vaksin tambahan

Kerajaan memperuntukkan RM400 juta untuk menambah bekalan vaksin negara bagi mempercepatkan jadual pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selaras dana tambahan itu, Perdana Menteri berkata, jumlah bekalan vaksin yang ditempah Malaysia adalah mencukupi untuk menampung 130 peratus populasi rakyat, berbanding 120 peratus sebelum ini.

“Penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya ialah sebagai stok penimbal tambahan dan bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun.

“Anak-anak yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini akan diutamakan. Saya juga ingin tegaskan, kerajaan sedang memantau rapat dan membuat kawalan ketat berikutan penularan varian COVID-19 Delta Plus.

“Ini kerana ia menyebabkan beberapa negara kembali mencatatkan peningkatan jangkitan dan terpaksa melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

Muhyiddin berkata bayaran sagu hati yang dinaikkan daripada RM50 kepada RM100 akan diperluaskan kepada petugas di lapangan, selain Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti di pusat kuarantin.

Bagi memacu prestasi PICK dan mencapai imuniti kelompok, Perdana Menteri turut meminta supaya PPV beroperasi tujuh hari seminggu untuk memberikan suntikan pelalian kepada rakyat.

“Sebagai tambahan, sukacita juga diumumkan, kerajaan bersetuju menyelaras kadar pembayaran elaun khas kepada 14,000 petugas barisan hadapan kesihatan yang terbabit dalam PICK, daripada RM200 kepada RM600 selama enam bulan mulai Julai ini.

“Kedua-dua inisiatif ini meliputi peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta dan ia pengiktirafan berterusan kepada jasa dan sumbangan barisan hadapan kesihatan kita yang masih terus berjuang demi bangsa negara tercinta,” katanya.

 

PALING POPULAR

To Top