Umum

Finas mohon premis jadi PPV untuk penggiat seni

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memohon agar premis itu dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) untuk golongan penggiat seni bagi mempercepat matlamat kerajaan mencapai imuniti kelompok.

Finas dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu diambil melalui mesyuarat ahli Finas yang dipengerusikan oleh Zakari Abdul Hamid.

“Bagi menyokong usaha kerajaan mencapai matlamat imuniti kelompok secepat mungkin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), mesyuarat bersetuju memohon pembukaan PPV di premis Finas bagi tujuan pemberian suntikan vaksin kepada penggiat industri kreatif,” katanya.

Selain itu, Finas berkata ahli Finas turut bersetuju menyumbangkan elaun menghadiri mesyuarat mereka – selama tiga bulan – untuk Akaun Amanah Bencana bagi membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.

“Ia sebagai tanda kebersamaan dan sokongan ahli Finas membantu mereka yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Agensi itu juga bersetuju untuk melanjutkan pemberian diskaun 50 peratus bagi sewaan fasiliti, peralatan produksi dan pembelian footage yang didaftarkan di bawah Finas hingga Disember 2021 tertakluk kepada syarat dan peraturan seperti berikut:

  • Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
  • Penggunaan bernilai RM1,000 dan ke atas
  • Stesen penyiar tidak tertakluk kepada syarat dan peraturan sewaan bagi kadar diskaun ini.
  • Kelulusan boleh diberikan kepada syarikat yang membuat tempahan melebihi satu projek.

Sumber: Malaysia Kini

PALING POPULAR

To Top