Umum

Pesara lesap lebih RM52,000 terperdaya ‘love scam’

Seorang pesara kerugian RM52,300 akibat terpedaya dengan kegiatan Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman sosial pada Disember lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berusia 74 tahun itu dikatakan telah dihubungi suspek melalui Facebook dengan nama Nelson Michael Jr yang mendakwa dirinya berasal dari Amerika Syarikat namun bekerja di Miri, Sarawak dalam bidang cari gali minyak.

Beliau berkata sepanjang perkenalan, mangsa tidak pernah menemui suspek dan hanya berhubung dengan lelaki tersebut menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.

“Suspek telah meminjam wang dari wanita itu dengan pelbagai alasan sebanyak tujuh kali dengan jumlah keseluruhan RM52,300 malah berjanji dengan mangsa mahu mengahwininya apabila memberi pinjam wang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, suspek tidak dapat dihubungi mangsa sejak 31 Jan lepas, iaitu selepas melakukan transaksi terakhir malah lelaki itu turut menyekat nombor telefon wanita berkenaan, katanya.

Menurutnya, mangsa yang menyedari dirinya tertipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top