Buletin

Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan Najib Razak pengkhianatan Bersatu di PRN Sabah!

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dilihat sedikit tegang, apabila perang mulut antara dua bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, terus berlarutan.

Terbaharu, Ahli Parlimen Pekan Dato’ Seri Najib Tun Razak telah mendakwa pengkhianatan BERSATU dalam PRN Sabah dilaman Facebooknya.

Tuduhan Najib, disangkal oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku president Bersatu yang menganggap ini adalah satu cubaan memutarbelitkan fakta kerana menuduh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) punca kegagalan Muafakat Nasional.

Malah, Muhyiddin Yassin dalam perkongsian terbaharu di Facebooknya berkata, Najib sepatutnya muhasabah diri, dan ada sedikit rasa malu kerana didapati bersalah di mahkamah.

“Saya fikir Datuk Seri Najib elok ambil masa muhasabah diri. Tak usahlah bermain politik jelik. Anda telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah yang berat. Sepatutnya ada sedikit rasa malu.

“Dalam Islam, malu itu adalah sebahagian daripada iman. Tetapi malangnya dalam UMNO, seorang yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah yang disifatkan sebagai ‘national embarrassment’ oleh mahkamah diangkat sebagai boss dan dilaungkan slogan ‘malu apa bossku’,” kata Muhyiddin lagi.

Najib yang mendakwa tindakan Bersatu yang mengkhianati kerjasama politik dua parti itu sewaktu PRN Sabah, dengan meletakkan calon untuk melawan UMNO, adalah punca kegagalan Muafakat Nasional.

Namun Muhyiddin berkata, faktanya, tidak ada satupun kerusi di mana calon Bersatu melawan UMNO dalam PRN Sabah.

“Sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, saya telah mempengerusikan beberapa mesyuarat yang dihadiri oleh pimpinan PN, BN dan PBS untuk menetapkan pembahagian kerusi bagi PRN Sabah.

“Saya telah menyatakan dengan jelas dalam mesyuarat-mesyuarat ini penting untuk PN, BN dan PBS mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam PRN Sabah.

“Saya juga pada waktu itu telah mengarahkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung PN untuk membentuk jawatankuasa pembahagian kerusi antara parti-parti PN, BN dan PBS dengan satu arahan yang jelas bahawa semua parti mesti mengelakkan pertembungan sesama sendiri,” katanya lagi.

Tambahan beliau, perkara ini telah memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti masing-masing, namun beliau berkata BN sendiri yang tiba-tiba menambah kerusi, menyebabkan pertembungan dengan PN di beberapa kerusi DUN.

Melihat keadaan itu, Muhyiddin berkata, beliau sendiri pergi ke Kota Kinabalu sebelum hari penamaan calon untuk melakukan rundingan saat akhir bagi mengelakkan pertembungan sesama parti-parti PN, BN dan PBS.

“Malangnya, mesyuarat ini gagal mencapai kata sepakat kerana masing-masing bertegas untuk meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh parti-parti rakan yang lain.

“Jadi, saya tidak faham dengan tuduhan Datuk Seri Najib bahawa Bersatu mengkhianati UMNO dalam PRN Sabah dengan meletakkan calon menentang UMNO dan itu menjadi punca Muafakat Nasional gagal,” katanya lagi.

Mengulas mengenai jawatan Ketua Menteri yang akhirnya jatuh kepada wakil Bersatu, iaitu Datuk Seri Hajiji Noor pula, Muhyiddin berkata, keputusan itu diambil selepas UMNO sendiri tidak meletakkan calon pilihan mereka.

Katanya lagi, beliau telah meminta Pengerusi BN, yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menamakan calon mereka, tetapi tidak berbuat demikian.

Kerana itu Muhyiddin berkata, beliau menamakan Hajiji sebagai calon KM Sabah daripada PN sekiranya PN memenangi jumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dan akhirnya, tambahnya lagi, keputusan PRN menunjukkan PN mempunyai kerusi terbesar, iaitu 17, diikuti BN (14) dan PBS (7), menjadikan parti yang beliau pimpin tu memenangi kerusi terbanyak dalam kalangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Adakah saya khianat? Saya tidak khianat. Saya beritahu UMNO supaya menamakan calon. Sekiranya UMNO tiada calon, saya ada calon yang ingin diketengahkan. Saya bersikap telus dan berterus terang dengan UMNO.

“Datuk Seri Najib janganlah memutarbelitkan fakta. Apa yang berlaku dalam PRN Sabah bukanlah sebab Muafakat Nasional gagal,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Bersatu sudah melupakan niat untuk menyertai Muafakat Nasional.

“Bersatu telah buat keputusan untuk tidak menyertai Muafakat Nasional. UMNO pun telah buat keputusan dalam Perhimpunan Agungnya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu. Jadi apa lagi yang hendak diungkit?
“Ada hikmah Bersatu tidak bekerjasama dengan UMNO.

Jadi Bersatu tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin UMNO.

“Secara peribadi saya malu untuk dikaitkan dengan parti yang masih mengangkat seorang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat sebagai boss,” tegasnya lagi.

PALING POPULAR

To Top