Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan mengambil alih peranan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak bermula 1 Julai depan.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri Julaihi Narawi, tempoh peralihan itu bermula 1 Julai depan sehingga 1 Januari 2025.
“Petros akan mengambil alih peranan tersebut daripada Petronas, bukan sahaja sebagai pembeli dan penjual gas asli, malah akan menjalankan semua aktiviti berkaitan perolehan, pembekalan dan pengedaran gas asli yang dihasilkan di Sarawak,” katanya.
Julaihi mengumumkan perkara itu ketika menggulung perbahasan untuk kementeriannya pada sidang DUN hari ini.
Petros dan Petronas juga bersetuju menandatangani perjanjian definitif dengan Petronas mengambil maklum peranan Petros sebagai Pengagregat Gas Tunggal bawah Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan), 2023
“Oleh itu, bermula 1 Julai depan, Petros sebagai Pengagregat Gas Tunggal akan membeli gas asli yang dihasilkan di Sarawak dari semua pengeluar gas huluan dan menjual gas tersebut kepada semua pembeli gas hiliran termasuk loji pemprosesan gas asli cecair (LNG) di Sarawak.
“Ini membolehkan pembekalan LNG secara berterusan oleh pihak loji pemprosesan bagi memenuhi kontrak sedia ada mereka dengan pembeli LNG luar negara seperti di Jepun dan Korea,” katanya.
Julaihi berkata, dalam usaha meningkatkan penggunaan gas asli, Petros akan menjalankan usaha berterusan yang selaras dengan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).
“Melalui inisiatif SGR ini, penggunaan gas asli di Sarawak yang kini berada pada tahap 6% mampu ditingkatkan kepada 30% atau lebih menjelang 2030.
“Pelan ini dijangka akan menarik pelaburan ke Sarawak, menghasilkan aktiviti ekonomi bernilai tinggi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.