Umum

PN serah lebih 112 SD sokong Muhyiddin sebagai PM-10 kepada Agong

Parti Perikatan Nasional (PN) telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun (SD) daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin, jumlah SD yang dihantar melebihi 112 tandatangan, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, beliau mempunyai sokongan yang mencukupi daripada parti dan beberapa Ahli Parlimen untuk membolehkan dirinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri baharu susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muhyiddin berkata, keyakinan itu diperoleh susulan pertemuan beliau dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, Ahad lalu.

Menurut Muhyiddin, kedua-dua pemimpin itu serta “beberapa orang Ahli Dewan Rakyat lain” telah memberi komitmen untuk menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

Sebelum ini Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memaklumkan gabungan itu menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-10.

PN memenangi 73 kerusi Parlimen dalam PRU15 lalu manakala GPS mendapat 22 kerusi Parlimen dan GRS sebanyak 6 kerusi Parlimen.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top