Umum

Presma tolak cadangan mansuhkan lesen operasi 24jam untuk kedai makan

Gambar Hiasan

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menolak cadangan supaya lesen operasi 24 jam yang diberikan kepada kedai makan dimansuhkan.

Menurut Presiden persatuan itu, Jawahar Ali Taib Khan, gesaan itu hanya sesuai dijalankan mengikut keperluan, lokasi, serta gaya hidup masyarakat agar ia dapat memenuhi keperluan semua pihak bukan saja pemilik restoran serta industri berkaitan.

“Untuk rekod, Presma sendiri pernah menyarankan kepada kerajaan agar mempertimbangkan kebenaran beroperasi 24 jam sebelum ini berdasarkan prestasi perniagaan ahli-ahli di seluruh negara,” kata beliau dalam suatu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa operasi restoran 24 jam bukanlah penyebab utama masalah kesihatan rakyat Malaysia, selain menyatakan ia turut dipengaruhi faktor lain seperti amalan gaya hidup sihat individu itu sendiri.

Kenyataan itu dibuat susulan cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa lesen operasi 24 jam yang diberikan kepada kedai makan dimansuhkan kerana kajian menunjukkan terdapat kesan negatif akibat tabiat makan lewat malam seperti berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.

Terdahulu, Presiden CAP Mohideen Abdul Kader dilaporkan berkata pihaknya sekian lama menyeru larangan kedai makan beroperasi 24 jam dengan alasan akses terhad kepada makan lewat malam akan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat.

Beliau turut merujuk penyelidikan yang menunjukkan individu yang makan lewat malam melebihi 40% daripada keperluan tenaga harian mereka, menimbulkan faktor risiko ketara bagi obesiti.

Mengulas lanjut, Jawahar berkata gesaan itu perlu diperhalusi sambil menambah rakyat menjadikan restoran sebagai pusat sehenti, untuk menjamu selera, termasuk lokasi bersosial selepas waktu kerja kerana suasana kondusif serta mudah diakses.

PALING POPULAR

To Top