Umum

Radzi: Ku Nan masih berhutang RM50,000 dengan saya

Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin menafikan dakwaan Tengku Adnan Mansor bahawa Pusat Khidmat Putrajaya Care yang dikendalikannya menolak orang ramai yang datang bagi mendapatkan bantuan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Radzi berkata walaupun dia tidak menerima sebarang dana persekutuan, pusat khidmatnya beroperasi sepenuhnya.

“Sokongan jitu dan sumbangan ikhlas sahabat-sahabat seperjuangan serta dokongan kakitangan awam di pelbagai agensi telah banyak membantu dan memudahkan kami memberikan khidmat kepada warga Putrajaya,” katanya.

Radzi juga menggesa Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya Ahmad Faisal Abdul Karim supaya memastikan Tengku Adnan membayar RM50,000 yang diperintahkan oleh mahkamah susulan petisyen pilihan raya untuk membatalkan kemenanganya yang tidak berjaya.

“Mohon Datuk segerakan bayaran RM50,000 kepada saya seperti yang diperintahkan oleh mahkamah. Sepertimana saya sebutkan sebelum ini, setiap sen daripada RM50,000 tersebut akan saya salurkan kepada Putrajaya Care,” katanya.

Petisyen pilihan raya Ahmad Faisal untuk membatalkan kemenangan Radzi telah ditolak pada Mac. Rayuan ke Mahkamah Persekutuan juga ditolak.

Keseluruhannya, mahkamah memutuskan bahawa Ahmad Faisal perlu membayar Radzi RM50,000 sebagai kos guaman.

Semalam, Tengku Adnan, adalah bekas ahli parlimen Putrajaya dan juga bendahari Umno, mendakwa pengundi di kawasan berkenaan telah mengadu kepadanya bahawa mereka tidak dapat bertemu dengan Radzi.

Sehubungan itu, dia menggesa pengundi menjelang pilihan raya enam negeri akan datang supaya mengundi dengan bijak.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top