Umum

Sanusi beri Saifuddin 7 hari mohon maaf berhubung dakwaan curi nadir bumi, salah guna dana

Muhammad Sanusi Md Nor memberi tempoh tujuh hari kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk memohon maaf kerana menuduh menteri besar Kedah itu mencuri nadir bumi dan penyelewengan dana penyelenggaraan jalan.

Dalam surat tuntutan yang dihantar melalui peguamnya, Sanusi berkata dakwaan Saifuddin dibuat dalam dua kali dan merupakan serangan politik bertujuan membantu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

“Kamu telah memilih untuk mensensasikan perkara ini dengan membuat dakwaan kepada masyarakat awam tanpa sebarang usul periksa dan tanpa apa-apa bukti dokumen bertulis yang sah, lengkap serta tepat daripada mana-mana sumber yang dinamakan dan boleh dipercayai.

“Oleh yang demikian, adalah jelas bahawa perbuatan kamu adalah berniat jahat tanpa sebarang niat untuk mendapatkan kebenaran dan penjelasan daripada Anak guam kami tentang fakta sebenar,” kata surat yang dihantar kepada Saifuddin sambil menambah pemimpin PKR itu juga perlu mencadangkan jumlah kerosakan yang munasabah untuk dibayar kepada Sanusi.

Pada 15 Julai, Saifuddin mendakwa Sanusi dikompaun RM500,000 atas kesalahan mencuri nadir bumi di Sik, Kedah tahun lepas.

“Saudara, kita lantik jadi menteri besar untuk urus negeri, bukan jadi pencuri,” kata Saifuddin dalam ceramah di Guar Chempedak, Kedah, hanya tiga hari sebelum polis menyerbu sebuah hotel di Kuala Lumpur pada awal pagi bagi menahan Sanusi, untuk didakwa menghasut beberapa jam kemudian.

Susulan itu, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Kedah Md Shuhaime Abd Rahman menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Saifuddin dengan berkata kompaun itu adalah untuk Menteri Besar Inc dan bukannya Sanusi.

Beliau berkata syarikat negeri itu didenda atas kapasitinya sebagai pemilik kawasan hutan simpan di Sik, di mana pejabatnya menahan dan mendenda seorang individu kerana mencuri galian. 

Shuhaime juga mendedahkan bahawa Sanusi tidak menggunakan kuasanya untuk mengecualikan syarikat negeri daripada membayar denda. 

Saifuddin juga menuduh Sanusi menyalahgunakan dana untuk Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris), sambil menambah bahawa pentadbiran negeri penuh dengan masalah tadbir urus dan pendapatan yang rendah.

“Kutipan hasil kecil kerana dia bermain politik dia tak memerintah negeri,” kata Saifuddin.

Sanusi berkata tuduhan Saifuddin adalah “pembohongan, tuduhan berniat jahat dan penyelewengan fakta yang direka berdasarkan versi fakta yang tidak berasas, kerana tidak disokong dengan sebarang bukti dokumentari, dan/atau bukti yang sah, lengkap dan/atau tepat”. 

Beliau berkata Saifuddin mempunyai peluang pada setiap masa untuk mendapatkan penjelasan daripada Sanusi tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.

Sumber: Malaysianow

PALING POPULAR

To Top