Umum

Seorang bayi perempuan telah maut tertinggal dalam kereta

Gambar Hiasan

Seorang bayi perempuan berusia 16 bulan ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan yang diletak di kawasan parkir sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kuala Terengganu, pada petang hari Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din dilaporkan berkata maklumat berhubung kejadian tersebut dimaklumkan oleh kakitangan pusat kesihatan IPTA berkenaan.

Menurutnya, bayi itu dikatakan telah meninggal dunia ketika dibawa ke pusat kesihatan tersebut sekitar jam 4 petang pada hari yang sama.

Mengikut laporan di Sinar Harian, Abdul Rahim berkata “sebaik menerima maklumat, pihak polis segera ke lokasi kejadian dan membawa mayat bayi tersebut ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat.

“Pihak polis telah memanggil bapa bayi itu untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi pemberita pada hari Rabu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas bapa mangsa terlupa untuk menghantar anaknya ke pusat asuhan kanak-kanak di IPTA berkenaan pada pagi kejadian.

Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang dikhuatiri akan menjejaskan emosi keluarga mangsa yang masih trauma dengan kejadian itu.

“Masyarakat diminta supaya tidak membuat sebarang komen atau ulasan negatif terhadap kejadian ini supaya dapat menjaga sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa, “katanya.

 

 

Sumber Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top