Umum

Seorang guru ditipu phone scam lebih RM200 ribu

Gambar Hiasan

Seorang guru wanita mengalami kerugian lebih RM200,000 setelah diperdaya oleh “phone scam” yang mengoperasi sindiket penghantaran barang tidak wujud sejak Ogos lalu.

Menurut laporan media, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, menyatakan mangsa berusia 52 tahun itu hanya sedar dirinya menjadi mangsa penipuan pada hari Isnin.

Mohd Yusri berkata, “hasil siasatan mendapati mangsa telah menerima panggilan telefon kononnya dari petugas Pejabat Pos Laju Melaka pada 30 Ogos lalu.

Panggilan tersebut bermula dengan suspek pertama membacakan nama dan alamat mangsa dengan betul dan memaklumkan bahawa penghantaran bungkusan mangsa tidak berjaya dihantar kepada penerima.

Dinyatakan suspek sebab tidak berjaya adalah kerana bungkusan tersebut mengandungi bahan yang salah dan terlarang.

Suspek seterusnya mengarahkan mangsa membuat laporan polis dengan segera kerana ada individu lain telah menggunakan maklumat peribadinya selepas mangsa terus menafikan bungkusan itu miliknya.

Panggilan tersebut kemudian kononnya disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Mangsa kemudiannya disambungkan perbualan dengan ‘Tuan Ammar’ (suspek kedua) dan ‘Datuk Samsul Anwar’ (suspek ketiga) dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Setelah itu katanya, mangsa dimaklumkan oleh suspek ketiga bahawa satu kad ATM CIMB bank atas namanya ditemui hasil serbuan polis ke atas penjenayah bernama ‘Ong Kai Chin’ dan satu waran tangkap telah dikeluarkan atas nama mangsa.

Sejurus iti, mangsa telah dituduh menjual kad bank tersebut dengan nilai RM20,000 dan menerima komisen sebanyak RM28,000.

Sambungan itu, pada 1 September lalu, mangsa terima panggilan dari suspek ketiga bertanyakan mengenai jumlah akaun bank yang dimiliki dan mangsa telah memberikan maklumat tersebut kepadanya.

“Suspek ketiga meminta mangsa memindahkan wang dari Tabung Haji ke Bank Islam milik mangsa sebanyak RM49,000 dan pada 4 September pula, wang dari ASB ke Bank Islam RM27,300 bagi memudahkan siasatan pihak polis.

“Pada 10 September jam 11 pagi, mangsa diminta pula membuat pinjaman peribadi di Bank Islam,” katanya.

Jelasnya, mangsa kemudiannya membuat pinjaman peribadi RM150,000 dan wang itu dimasukkan ke akaun Bank Islam miliknya.

“Pada 25 september lalu, jam 12.30 tengah hari, mangsa sekali lagi menerima panggilan dari suspek ketiga memintanya memindahkan wang dari Bank Islam ke akaun Maybank sebanyak RM10,000.

“Ia bagi bayaran guaman perbicaraan yang akan diadakan pada November nanti,” katanya lagi.

Mohd Yusri berkata, pada Isnin 30 Oktober, mangsa ke Bank Islam cawangan Tanjung Malim untuk membuat semakan dan mendapati kesemua wang berjumlah RM236,300 lenyap.

Selain itu katanya, terdapat beberapa transaksi pindahan wang ke akaun bank yang bukan dilakukan olehnya.

Mangsa menyedari bahawa dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 

PALING POPULAR

To Top