Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memberi penjelasan berhubung isu polemik silibus pendidikan selepas kontroversi seorang cikgu sekolah rendah baru-baru ini yang mendapat liputan banyak pihak.
Menurut Radzi, silibus yang digunakan dalam sistem pendidikan mempunyai kitarannya dan tidak boleh diubah sesuka hati setiap tahun, malah ia memerlukan satu proses kajian terperinci yang melibatkan banyak pakar dan guru-guru berpengalaman.
“Mengambil ruang ini sedikit untuk saya jelaskan berkaitan dengan silibus ini, pertama sekali silibus yang digunakan pada hari ini adalah silibus yang mula digunakan pada tahun bila, pada 2017.
“Ini bukan silibus ‘Radzi Jidin’, ini silibus yang mula digunakan pada 2017 dan untuk membina silibus ini ianya mengambil masa nak sediakan DSKP (Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran) dan sebagainya. Ia mengambil masa dan prosesnya bermula lama sebelum itu, bukan 2017 terus tukar jadi… tidak,” katanya semasa majlis Pelancaran Inisiatf Reading Progress pagi ini di Shah Alam.
Jelasnya, pelbagai proses perlu dilalui bagi menyediakan sesuatu silibus dan tidak boleh ditukar setiap tahun bagi mengelakkan berlaku kekeliruan tenaga pengajar di kemudiaan hari.
“Ianya telah mula lama sebelum itu mungkin mengambil pandangan daripada pelbagai pihak sebelum disiapkan.
“Yang bina silibus ini adalah guru-guru yang membina ini adalah pegawai-pegawai pendidikan, ia dibina oleh kepimpinan pendidikan di semua peringkat.
“Silibus ini dia tak boleh tukar tiap-tiap tahun. Kalau tukar cikgu pun pening, semua orang pening,” katanya lagi.
Radzi juga menerangkan silibus yang digunakan mempunyai kitarannya dan akan berakhir mengikut tempoh yang sudah digariskan oleh pihak kementerian.
“Mengikut pendekatan yang digunakan oleh KPM selama ini bukan sekarang selama ini, silibus bila mula 2017, ia akan habiskan satu pusingan, satu cycle.
“Murid darjah satu 2017 akan masuk darjah satu 2017, murid darjah dua 2018 dan akan berakhir darjah enam tahun 2022.
“Bila selesai darjah enam 2022 maka ruang itu di sepanjang tempoh itu digunakan untuk membina atau melihat semula pada silibus tersebut,” katanya lagi.
Terdahulu tular dalam media sosial, seorang guru mendakwa akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat, kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.
Beliau dalam hantaran Facebooknya menyatakan, bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang katanya boleh memudaratkan kesihatan murid.
Sumber: Agenda Daily