Umum

1MDB tidak ikut proses sejak penubuhan

Syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melanggar prosedur dengan tidak menyalurkan cadangan berhubung pelaburan usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) sebelum membuat keputusan.

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa cadangan pelaburan itu kemudiannya akan disalurkan kepada menteri berkenaan dan perlu dibentangkan di Kabinet.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa yang menjawab soalan peguam utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata sepanjang pengetahuannya pelanggaran proses itu berlaku sejak penubuhan syarikat berkenaan sehingga beliau bersara pada 2019.

Jelas saksi ke-26 pendakwaan itu, beliau mengemukakan aduan mengenai perkara terbabit kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, bagaimanapun tiada tindakan yang diambil.

Ketika disoal Muhammad Shafee sama ada beliau memberitahu Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan ketika itu mengenainya, Siti Zauyah menjawab, “saya tidak tahu”.

Pendakwa Raya kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, ketika membacakan kenyataan pembukaan pada Ogos 2019, berkata satu usaha sama palsu antara 1MDB dan Syarikat PetroSaudi International LTD (PSI) yang dikenali sebagai projek Aria diwujudkan tertuduh (Najib) dengan 1MDB meminjam AS$1 bilion, kononnya untuk melabur dalam syarikat usaha sama dikenali 1MDB Petro Saudi Limited.

Wang itu adalah untuk dimasukkan ke dalam akaun syarikat usaha sama yang mana PetroSaudi International memperoleh 60 peratus saham dengan menyuntik beberapa aset melalui nilai diragukan.

Bagaimanapun, Sri Ram berkata, usaha sama itu tidak dijalankan dengan PSI, sebaliknya melalui syarikat PetroSaudi Holding (Cayman) Ltd dan Tariq Obaid (kenalan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low) melaksanakan perjanjian bagi mewakili Petro Saudi (Cayman).

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top