Umum

SKMM rakam kenyataan Aliff Syukri berhubung klip video Aidilfitri

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah merakam percakapan usahawan kosmetik Aliff Syukri Kamarzaman hari ini berhubung klip video sempena Aidilfitri yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Ini susulan aduan berhubung kandungan video yang dimuat naik usahawan kosmetik berkenaan di media sosial.

Menurut laporan FMT, SKMM menyatakan pegawai penyiasatnya juga telah menyita kad SIM serta satu unit telefon bimbit yang digunakan untuk memuat naik video berkenaan.

“Klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” kata SKMM dalam kenyataan.

“Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.”

Menurutnya, pesalah boleh dihukum denda maksimum RM50,000, atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

SKMM hari ini berkata, setelah kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada peguam negara untuk tindakan lanjut.

Dilaporkan semalam bahawa Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta SKMM mengambil tindakan yang wajar berhubung klip video yang dimuat naik Aliff, susulan aduan daripada pengguna media sosial.

 

 

 

Sumber FMT

PALING POPULAR

To Top