Umum

SPRM percaya Jho Low sembunyi di Macau – Laporan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low bersembunyi di Macau.

Memetik laporan AlJazeera, SPRM dalam satu jawapan bertulis berkata, pihaknya percaya bahawa individu-individu yang dikehendaki berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berada di Macau, terutamanya Jho Low.

“Ini juga disahkan oleh beberapa individu yang telah melihat Jho Low di Macau,” kata SPRM dalam laporan terbitan portal berita itu pada Selasa.

Demikian jelas SPRM beberapa minggu selepas seorang individu yang didakwa terlibat dalam siasatan kes 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) dilaporkan dibawa pulang ke negara ini menerusi kerjasama SPRM bersama agensi penguatkuasa luar pada awal Mei.

AlJazeera turut melaporkan, suspek tersebut iaitu Kee Kok Thiam tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Mei sebelum ditahan oleh SPRM.

Namun, suspek dilepaskan susulan temu bual bersama pegawai-pegawai SPRM dan tiada pertuduhan dikenakan terhadapnya “pada waktu ini”.

SPRM turut berkata dalam laporan itu bahawa kerajaan Malaysia tidak menerima sebarang pemakluman dari Macau berhubung tindakan menghantar pulang Kok Thiam, namun mengetahui bahawa dia dihantar pulang dari Macau berdasarkan “rangkaian risikan”.

“Kertas siasatan tertumpu kepada aset-aset milik Kee Kok Thiam di Singapura dan telah dilengkapkan dan dihantar ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan,” memetik seorang pegawai dalam laporan AlJazeera itu.

Sejurus selepas tiba di Kuala Lumpur, Kok Thiam mendedahkan kepada pegawai-pegawai SPRM bahawa imigresen Macau menahannya selama sebulan pada 2021 namun melepaskannya secara “bersyarat” apabila sempadan Macau ditutup akibat sekatan COVID-19, menurut laporan itu.

SPRM turut memaklumkan bahawa Kok Thiam mengesahkan telah berjumpa dengan Jho Low serta beberapa lagi suspek 1MDB dalam buruan termasuk Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng dan Nik Faisal di Macau.

Malah, SPRM berkata, Jho Low telah mengarahkan Kok Thiam supaya “tidak pulang ke Malaysia sebagai saksi dalam kes 1MDB”.

Pada awal Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Malaysia sedang berunding dengan beberapa negara menerusi saluran diplomatik bagi mempercepatkan proses membawa pulang Jho Low.

Namun, ketika ditanya sama ada rundingan itu membabitkan China, PM Anwar berkata, beliau tidak boleh mengulas mengenainya.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top