Umum

Statistik polis menunjukan peningkatan dalam kes jenayah komersial

Statistik JSJK menyatakan kes jenayah komersial untuk tempoh 9 bulan pertama tahun ini ialah 30,992 kes berjumlah RM1.6 bilion, peningkatan daripada jumlah kes yang dilaporkan sepanjang tahun lepas iaitu 30,536.

Perkara dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf pada sidang media selepas melancarkan konvoi Kapcai Ride Anti Scam JSJK 2023 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari Khamis.

Menurutnya “peningkatan kes jenayah komersial ini dipercayai akibat masalah ekonomi yang dihadapi sekarang dan angka kes pada tahun ini mungkin melonjak melepasi jumlah pada 2021 yang merekodkan 31,388 kes.”

Mengulas lanjut, Ramli berkata kes penipuan merekodkan jumlah keseluruhan paling tinggi iaitu RM1.24 bilion diikuti pecah amanah RM310.18 juta dan jenayah siber RM31.14 juta.

Beliau berkata bagi tempoh yang sama juga penipuan dalam talian mencatatkan 19,220 kes dengan jumlah kerugian RM687.6 juta dengan kerugian paling tinggi melibatkan pelaburan tidak wujud iaitu RM277.2 juta.

Ramli berkata orang ramai dinasihatkan berhati-hati sebelum melakukan sebarang pelaburan terutama yang menjanjikan pulangan terlalu lumayan.

“Slip bank yang didakwa sebagai bayaran dividen pelaburan juga boleh dipalsukan, jadi orang ramai perlu berhati-hati, periksa dengan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum melabur untuk mengetahui pelaburan berkenaan wujud atau tidak, sah atau tidak,” katanya.

 

PALING POPULAR

To Top