Umum

Sultan Selangor harap orang politik khusus bukan Islam tidak campuri urusan hal ehwal agama Islam

Gambar Selangor Royal Office

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah minta orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata demikian ekoran Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham menyarankan kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam.

Jawatankuasa itu bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.

Hasil kajian, pandangan, dan syor yang dicadangkan oleh jawatankuasa itu akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-raja.

“MKI juga dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya yang melibatkan undang-undang dan agama Islam,” menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Sultan Selangor.

“Justeru, baginda mengharapkan agar orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.”

Penubuhan jawatankuasa itu menjunjung titah Sultan Sharafuddin, yang juga pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), bagi mengkaji secara mendalam dan kritikal persoalan undang-undang yang berbangkit, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan Perlembagaan.

Terdahulu, Ngeh mencadangkan agar jawatankuasa tersebut dapat mengambil kira pandangan orang bukan Islam supaya hak dan perlindungan yang diberikan Perlembagaan tidak terjejas.

PALING POPULAR

To Top