Umum

Tak perlu pinda perlembagaan halang bukan Melayu jadi PM, kata PM Anwar

Gambar Anwar Ibrahim

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tiada keperluan untuk kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang individu bukan Melayu menjadi perdana menteri seperti dicadangkan Ketua ARMADA Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menurutnya, sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga hari ini calon perdana menteri adalah orang Melayu.

“Selepas ini calon daripada kerajaan pun Melayu, calon pembangkang pun Melayu.

“Jadi maju terus, hak rakyat, kewarganegaraan kita pelihara, jaga kepentingan semua rakyat, semua kaum dan semua wilayah,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Surau Al-Kauthar Bandar Baru Bangi.

Semalam, Wan Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata perdana menteri menikmati sokongan besar diperlukan untuk meminda Perlembagaan termasuk lima Ahli Parlimen Bersatu yang mengalih sokongan kepadanya.

Langkah itu katanya dapat menoktahkan pertikaian berhubung isu berkenaan seperti dibangkitkan veteran DAP Lim Kit Siang, baru-baru ini.

Rabu lalu, Kit Siang memberi keterangan kepada polis susulan kenyataan kontroversi “tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi perdana menteri”.

Kit Siang turut berkata beliau berharap agar Malaysia tidak akan mengambil masa 230 tahun untuk orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Kenyataan Kit Siang itu turut mengundang pelbagai reaksi di media sosial, yang kelihatan banyak komen yang tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.

 

 

Sumber FMT

PALING POPULAR

To Top