Umum

Tanah Runtuh Batang Kali: Operasi SAR hari kelima tiada petunjuk positif sembilan mangsa hilang

Memasuki hari kelima, kedudukan sembilan mangsa yang hilang dalam tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong, di sini, masih gagal dikesan.

Justeru Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tertumpu kepada timbunan tanah dan kenyataan daripada saksi.

“Kita tidak tahu di mana kedudukan sebenar mangsa tertimbus.

“Ini antara cabaran besar yang dihadapi anggota pasukan SAR, selain keadaan tanah di lokasi pencarian yang lembik,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian pada Selasa.

Hafisham juga memberitahu, operasi pada hari ini tidak lagi menggunakan radar penembusan tanah (GPR), sebaliknya, menggunakan anggota SAR, dua anjing pengesan dan jentera pengaut.

Menurut beliau, fokus pencarian pada ketika ini  bertumpu  di Sektor C sehingga ke atas (hill side).

“Selain itu, pasukan ‘sweeper’ akan pergi ke kawasan ‘ground zero’ sehingga Sungai Kendondong dengan jarak tiga hingga empat kilometer,” katanya.

Operasi SAR yang dihentikan pukul 12 tengah malam tadi disambung kembali pukul 8 pagi Selasa.

Setakat pukul 12.30 tengah hari, tiada sebatang petunjuk positif dikesan.

Dalam kejadian pukul 2.42 pagi Jumaat lalu itu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan berkenaan yang terletak di Gohtong Jaya.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dengan sembilan daripadanya masih hilang.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top