Umum

‘Telur naik RM13, bawang holand RM56’

Harga makanan di bazar Ramadan di negeri ini meningkat sedikit susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran yang ketara pada ketika ini.

Hasil tinjauan di beberapa bazar Ramadan di sekitar daserah ini mendapati beberapa makanan popular setiap kali bulan puasa seperti martabak, ayam golek dan kuih-muih tradisional mengalami peningkatan harga antara 50 sen sehingga RM2.

Peniaga mengakui peningkatan itu berpunca daripada kenaikan harga bahan mentah seperti ayam, daging, bawang besar, serai, halia, pelbagai jenis tepung dan telur.

Mereka mendakwa, kenaikan harga barangan itu luar biasa berbanding tahun lalu mempengaruhi harga pada jualan makanan pada Ramadan tahun ini.

Peniaga martabak, Saidi Ismail, 56, berkata, peniaga terpaksa menaikkan harga makanan bagi mengelak menanggung kerugian.

Beliau turut mengakui mengalami dilema berhubung kenaikan harga tersebut antara menjaga hati pelanggan dan mendapatkan keuntungan.

“Kita (peniaga) terpaksa ambil risiko, kita sedar keputusan naikan harga bukan langkah baik, tapi kita tiada pilihan, harga bahan mentah terlampau mahal.

“Sebagai contoh, harga bawang Holand untuk 13kg (kilogram) naik daripada RM20 (tahun lalu) kepada RM56 tahun ini. Kalau daging kisar pula daripada RM13.50 naik kepada RM21 sekarang, dan sepapan telur daripada RM8 naik kepada RM13,” katanya ketika ditemui di pasar Ramadan Perkampungan Sungai Isap di sini pada Sabtu.

Dia yang berniaga martabak hampir 30 tahun memaklumkan, disebabkan itu harga martabak yang dijualnya pada Ramadan kali ini meningkat kepada RM12 daripada RM10 pada tahun lalu.

Katanya, tiada rungutan daripada pengguna setakat ini dan membuktikan mereka seolah-olah memahami keadaan pada ketika ini.

Bagi, peniaga kuih-muih, Noraini Abdul Razak, 35, berkata, kadar kenaikan harga makanan bagaimanapun tidak melampau batas dan mampu dibeli pengunjung.

Katanya, kualiti dan kuantiti makanan yang dijual akan dikekalkan tetapi harga mungkin dinaikkan pada kadar 50 sen RM1 bagi setiap jualan.

“Saya terpaksa sebab barang mentah bagi membuat kuih semua naik ketara. Saya akui memang ada tekanan kepada kami golongan peniaga ini, jika mahu naikkan harga terlalu tinggi takut nanti tidak laku, jadi terpaksa terima dengan keuntungan yang sedikit.

“Sebab itu, kami minta pengguna memahami situasi sekarang ini dan kami yakin mereka juga tahu bahawa bahan mentah mahal di pasaran,” ujarnya yang turut menjual kuih daripada individu lain digerainya.

Sementara itu, peniaga ayam golek, Azman Abdullah, 43, pula berkata, ayam golek yang dijual sejak 17 tahun lalu terpaksa dinaikan pada tahun ini bagi menampung kos bahan mentah.

Katanya, ini kenaikan kali pertama yang terpaksa dibuat memandangkan kenaikan harga ayam dan beberapa rempah perapan menghasilkan ayam golek.

“Hampir kesemua bahan mentah yang digunakan naik harga seperti ayam mentah daripada RM8 naik sehingga RM10 seekor, serbuk kunyit pula daripada RM36 kepada RM49 untuk 3 Kg.

“Serai naik RM1 menjadi RM9 untuk 100 batang dan halia juga naik daripada RM6.50 kepada lebih RM8 untuk 1 Kg. Semua bahan mentah ini naik seperti tidak terkawal memberi kesan kepada kami peniaga berasaskan makanan,” ujarnya yang menjual ayam golek pada harga RM25 seekor.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top