Umum

Kerajaan akan laksanakan VEP untuk kenderaan asing mulai 1 Oktober

Gambar Hiasan

Kerajaan akan melaksanakan caj jalan dan permit kemasukan kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing dari pintu masuk Singapura serta Thailand. Menurut Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, ia akan dilaksanakan menerusi 2 fasa berbeza di Fasa I di pintu masuk Singapura dan Fasa II di pintu masuk Thailand.

“Di Singapura, kenderaan masuk melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan CIQ Sultan Abu Bakar tertakluk kepada penguatkuasaan ini mulai 1 Oktober,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata kerajaan akan menanggung kos dianggarkan RM150 juta membangunkan dua sistem itu di sempadannya dengan Singapura.

Bagi pelaksanaan di pintu masuk Thailand pula, Kementerian Pengangkutan mempelawa semua pihak berminat membangunkan dan mengendalikan sistem itu di semua lapan pintu masuk sepanjang sempadan bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Semua kos hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh pihak yang berminat. Pihak yang berminat boleh mengemukakan cadangan mengenai model-model perniagaan yang akan dipertimbangkan selanjutnya di dalam tawaran pihak syarikat,” katanya tanpa mendedahkan bila fasa di Thailand akan dikuatkuasakan.

Seperti termaktub di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan, pemilik kenderaan asing yang tidak berdaftar akan didenda sehingga RM2,000 atau dipenjara sehingga enam bulan.

“(Penguatkuasaan VEP) membolehkan kita mengesan kenderaan asing yang masuk dan keluar dari Malaysia serta jika ada saman perlu selesaikan sebelum mereka keluar,” katanya sambil menambah ini akan memastikan pematuhan peraturan jalan raya.

 

 

PALING POPULAR

To Top