Umum

TMJ berkenan lawat Stadium Bukit Jalil

Gambar Awani / Bernama

Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan melawat keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil hari Khamis.

Baginda, yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), hadir ketika sesi latihan rasmi skuad Harimau Selatan menjelang aksi final Piala Malaysia 2023 menentang Terengganu FC (TFC) pada 9 malam, esok.

Dalam lawatan kira-kira 20 minit itu, TMJ turut dilihat mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Mohd Faidz Sanusi selepas kualiti padang itu sekali lagi menjadi persoalan.

Terdahulu, isu permukaan padang Stadium Nasional sekali lagi tular di media sosial dan menjadi topik hangat selepas Tunku Ismail memuat naik gambar keadaan gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya itu yang kelihatan sedikit terjejas menerusi laman media sosial milik baginda.

Ia merupakan kali kedua dalam tempoh kira-kira dua minggu Tunku Ismail memuat naik gambar keadaan padang Stadium Nasional, yang pertama selepas dua hari konsert kumpulan Coldplay berlangsung di stadium berkenaan pada 22 November lepas.

Sebelum ini, Tunku Ismail mengurniakan rumput jenis Zeon Zoysia untuk digunakan di Stadium Nasional yang mula ditanam tahun ini.

Pada final esok, JDT memburu gelaran Piala Malaysia keempat dan double treble selepas muncul juara Liga Super dan Piala FA musim ini, manakala TFC berhasrat menjulang Piala Malaysia buat kali kedua selepas kejayaan 2001.

PALING POPULAR

To Top