Umum

Cedera di leher dan badan, Zayn Rayyan dipercayai dibunuh

Gambar Zayn Rayyan

Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui meninggal dunia berdekatan anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai pada Rabu malam dipercayai telah dibunuh.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat kecederaan pada bahagian leher dan badan mangsa.

“Kecederaan ini kita percaya berunsurkan jenayah dan siasatan lanjut kita akan jalankan selepas ini,” katanya menurut laporan di Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya akan mengesan beberapa individu yang terlibat dalam kes ini.

“Setakat ini kita sedang kesan pihak yang terlibat dan tangkapan akan dijalankan susulan kejadian ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian dapat segera menghubungi polis untuk membantu siasatan.

Pada hari Rabu, mangsa berumur enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Sebelum kejadian, tular di media sosial bahawa Zayn Rayyan telah dilaporkan hilang di kawasan kediamannya di tengah hari Selasa lalu sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya pada malam Rabu.

PALING POPULAR

To Top