Umum

Trafik penumpang udara meningkat kepada 7.9 juta pada April 2024

Gambar Hiasan

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerbitkan statistik trafik penumpang udara Malaysia yang menunjuk peningkatan 19.5% tahun ke tahun kepada 7.9 juta pada April 2024, dan meningkat 8% bulan ke bulan dari Mac 2024.

Menurut Pengerusi Eksekutif Mavcom Saripuddin Kasim, jumlah trafik udara pada April 2024 menunjukkan pemulihan berterusan dalam sektor penerbangan.

“Kebangkitan semula trafik antarabangsa merupakan petanda positif bagi pemulihan keseluruhan sektor perjalanan dan pelancongan global, menunjukkan keyakinan pengguna yang kekal teguh terhadap perjalanan udara.

“Kami menjangkakan terdapat peningkatan selanjutnya dalam perjalanan antarabangsa, terutamanya dengan pengecualian visa 30 hari untuk pelancong dari China dan India,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, pertumbuhan itu sebahagian besarnya didorong oleh perjalanan udara domestik, terutamanya semasa musim cuti Hari Raya Aidilfitri, dengan 3.9 juta penumpang direkodkan, mencerminkan peningkatan 14.9% berbanding Mac 2024.

Trafik domestik menyumbang 49.8% daripada jumlah keseluruhan trafik penumpang pada April 2024, manakala trafik antarabangsa mengalami peningkatan sederhana 1.9% bulan ke bulan kepada 4.0 juta penumpang.

“Penumpang yang pergi dan balik dari rantau Asean khususnya meningkat 4.4% bulan ke bulan kepada 2.1 juta, manakala trafik antarabangsa bukan Asean mengalami sedikit penurunan sebanyak 0.7% bulan ke bulan kepada 1.9 juta penumpang,” kata Saripuddin.

Trafik antarabangsa mewakili 50.2% daripada jumlah trafik penumpang pada April 2024, tambahnya.

Secara kumulatif, trafik penumpang udara dari Januari hingga April 2024 mencecah 30.5 juta, peningkatan 17.0% tahun ke tahun daripada 26.1 juta penumpang yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2023.

“Pertumbuhan ini sebahagian besarnya didorong oleh kenaikan dalam trafik penumpang udara antarabangsa sebanyak 39.4% atau berjumlah 15.8 juta, meningkat daripada 11.4 juta dalam empat bulan pertama 2023, mencerminkan momentum pemulihan industri serta pemulihan laluan dan frekuensi antarabangsa.

“Trafik domestik bagaimanapun, berkurangan sedikit sebanyak 0.4% tahun ke tahun kepada 14.7 juta,” katanya.

PALING POPULAR

To Top