Umum

Usul tergempar bincang skandal LCS ditolak, kata Syed Saddiq

Seorang ahli Parlimen blok kerajaan memberitahu Dewan Rakyat permohonan usul tergempar bagi membincangkan isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) ditolak oleh pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau mengemukakan cadangan usul itu pada Jumaat dan menerima jawapan balas pada pagi ini di Parlimen.

Katanya, jawapan balas oleh speaker menyebut isu tersebut bukan melibatkan kepentingan awam dan bukan juga satu bentuk keperluan yang mendesak.

“Tertera di sini. Saya ingin mohon perkara ini dipertimbangkan semula.

“Saya faham kalau ikut Peraturan 18 Seksyen 5, keputusan tidak boleh dibangkitkan semula cuma ada budi bicaranya di mana kalau tidak dibenarkan bicara di sini boleh dibawa ke kamar khas supaya isu ini dapat dijawab dengan lebih mendalam,” katanya ketika membangkitkan Peraturan Mesyuarat sewaktu sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Skandal LCS merujuk kepada satu skandal yang sedang berlaku dan berada dalam siasatan pihak berkuasa Malaysia melibatkan pembinaan enam buah kapal tempur pesisir untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semasa pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.

Pada ketika itu juga, Ahmad Zahid Hamidi merupakan menteri pertahanan.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menegaskan meskipun hanya lima minit masa yang diluangkan namun amat penting untuk mendengar penjelasan yang sangat khusus dan lebih terperinci daripada pihak Kementerian Pertahanan mengenai skandal berkenaan.

Katanya, sebelum ini ahli-ahli Dewan Rakyat dimaklumkan tentang kos pembikinan kapal tersebut melibatkan RM6 bilion hingga RM9 bilion namun paling terbaru, minggu lepas dimaklumkan dengan penambahan lagi kos RM2.1 bilion diperlukan.

“Soalnya, jika isu ini bukanlah perkara yang mendesak mengapa permasalahan ini kerap dibincangkan semasa, sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu bahkan tiada pendakwaan tambahan sejak skandal tersebut dibongkar.

“Berbilion ringgit sudah dibelanjakan, (tetapi) satu kapal pun belum sampai dan jumlah kapal pun dikurangkan.

“Saya harapkan tuan speaker boleh pertimbangkan kerana jelas isu LCS ini adalah isu mendesak, isu rakyat melibatkan berbilion duit rakyat, isu kedaulatan dan keselamatan negara.

“Keadilan tidak pilih bulu tidak kira dalam kerajaan atau pembangkang,” tegasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Noor menyarankan Syed Saddiq supaya membuat rayuan mengikut peraturan sedia ada berhubung perkara tersebut.

Sebelum itu, ketika sesi jawab lisan oleh Timbalan Menteri Pertanahan Adly Zahari menegaskan kementerian itu sentiasa terbuka untuk bercakap mengenai skandal tersebut.

Katanya, jaminan itu juga pernah diulang oleh menteri dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada April lalu.

“Siasatan boleh dilakukan pada bila-bila masa dan Kementerian Pertahanan akan beri kerjasama,” katanya.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top