Umum

Syed Saddiq failkan rayuan untuk ketepikan sabitan hukuman

Gambar Facebook

Pihak pembelaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi, di Kuala Lumpur pada sekitar jam 3 petang pada hari Khamis.

Peguam yang mewakili Syed Saddiq, Haijan Omar menyatakan rayuan telah dibuat untuk mengetepikan sabitan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan.

Menurut Haijan, notis itu dibuat kurang lima jam selepas dijatuhi hukuman, mengikut peruntukan Seksyen 307 Kanun Prosedur Jenayah yang menghendaki petisyen difailkan di Mahkamah Rayuan Putrajaya, dalam tempoh 10 hari selepas menerima rekod rayuan.

Rayuan itu dibuat susulan Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan pihak Syed Saddiq, 31, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Mahkamah telah menjatuhi hukuman itu terhadapnya namun membenarkannya untuk menangguhkan sabitan, hukuman dan sebatan sementara menunggu rayuan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Syed Saddiq didakwa atas satu lagi pertuduhan menyalah gunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkenaan dihukum penjara selama tiga tahun dan satu sebatan.

Sementara satu pertuduhan menyalah guna harta untuk diri sendiri di bawah Seksyen 403 kanun sama, dia dihukum penjara dua tahun dan satu sebatan.

Mahkamah memerintahkan dua hukuman penjara itu dilaksanakan secara berasingan.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Bagi pertuduhan kes AMLA, dia dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dan tambahan dua tahun, jika gagal membayar denda tersebut.

PALING POPULAR

To Top