Umum

Video tular bakar mercun, polis buka kertas siasatan

Polis membuka kertas siasatan berhubung video tular kejadian pembakaran bunga api dan mercun secara besar-besaran di atas jalan raya dekat Simpang Pulai.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, video berdurasi 13 minit 46 saat itu dikongsi di laman sosial Facebook dan telah menarik perhatian umum kerana mendatangkan bahaya.

“Siasatan awal dijalankan mendapati kejadian itu berlaku di Kampung Baru, Simpang Pulai sekitar jam 8 malam pada Isnin lepas.

“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) serta Seksyen 286 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti berbahaya yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan dan harta benda orang awam.

Melalui pengkongsian video berkenaan, orang ramai dilihat berkumpul menyaksikan aktiviti bermain mercun dan bunga api itu secara dekat.

Rata-rata warganet pula meluahkan rasa bimbang dengan situasi berkenaan kerana boleh mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.- Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top