Umum

Warga emas ditemui lemas dalam kereta selepas banjir

Seorang warga emas ditemukan maut dipercayai akibat lemas di dalam kereta miliknya yang dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di jalan utama FELDA Selancar 2, dekat Rompin selepas banjir surut.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa, Abdullah Satar, 73, yang juga seorang peneroka di kawasan tanah rancangan itu jam 6.40 petang semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, keluarganya mendakwa mangsa hilang selepas keluar rumah sejak Rabu lalu dan gagal dihubungi menyebabkan mereka mencarinya, namun gagal.

“Anak mangsa mendakwa dihubungi rakannya yang memaklumkan kereta Proton Iswara mangsa dijumpai dalam ladang terbabit dengan warga emas itu berada di dalamnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Azahari berkata, polis bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah dibantu penduduk kemudian mengeluarkan mayat mangsa.

Bedah siasat di Hospital Muadzam Shah di Rompin malam tadi mengesahkan kematian Abdullah disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA

PALING POPULAR

To Top