Umum

Warisan dan UMNO akan kerjasama menentang GRS di PRN Sabah

Gambar Sinar Harian

Presiden Parti Warisan Shafie Apdal mengesahkan parti pimpinannya akan adakan kerjasama dengan Umno pada PRN Sabah, yang dijangka diadakan seawal tahun depan.

Shafie berkata Bung Moktar Radin selaku ketua Umno Sabah telah bersetuju dengan kerjasama tersebut, yang bakal menyaksikan mereka bersama menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor.

Menurutnya, mereka sebelum ini telah mempelawa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), namun komponen dalam GRS berkenaan menolak.

“Tetapi bila saya bincang dengan Bung tak jadi masalah, jadi kita bekerjasama atas dasar untuk membela rakyat Sabah.

“Dia pun rakan lama saya, saya pun bekas bos dia tapi saya bukan kaki lompat cuma dipecat parti,” katanya

Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung tahunan Warisan di Kota Kinabalu.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno turut hadir pada majlis itu dan diberi sambutan hangat daripada perwakilan Warisan.

Selain kerjasama dengan Warisan, Bung sebelum ini berkata Umno turut mempertimbangkan kerjasama dengan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Tempoh DUN Sabah akan tamat pada Oktober 2025, namun PRN17 dijangka diadakan lebih awal, selepas Hajiji memberi bayangan ia mungkin diawalkan termasuk tahun depan.

 

PALING POPULAR

To Top